Tiada tuhan selain ALLAH dan Nabi Muhammad pesuruh ALLAH

Assalamualaikum w.b.t.

Mudah-mudahan semua sihat hendaknya, sedikit perkongsian mengenai jihad Rasulullah s.a.w buat kita, umatnya yang semakin melupakan Baginda.
..................................................................................................................................................................


Siapa sangka, Islam yang dulunya tidak pernah wujud pun di Mekah, kini tersebar luas sehingga ke Malaysia pun. Entah kenapa hati ini terpanggil untuk mengupas tentang Islam.

Baru tadi tengok cerita "Muhammad The Last Prophet".
Alhamdulillah kita lahir dalam Islam. Benar bukan?
Tidak perlu perjuangan seperti zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat dulu untuk memeluk Islam secara senyap dan sebagainya. Kita lebih bebas dengan Islam kita sendiri, tiada larangan.

Dulu, ketika hayat kekasih ALLAH, Rasulullah s.a.w, baginda tidak pernah putus asa mengajarkan Islam dan iman kepada umatnya.
Dicaci, dimaki, malah dibaling dengan batu pun, baginda menggagahkan diri jua.
Sungguh Kau cipta Muhammad s.a.w itu seorang yang berjiwa kental dan penuh kasih pada umatnya.

Pada ketika Baginda didatangi Jibril, Baginda diperintahkan oleh ALLAH membaca. Bagindalah dipilih menjadi penyampai ALLAH.
Dalam keadaan Baginda ketakutan, pulang kerumah, meminta Khadijah menyelimutkannya. Baginda menceritakan apa yang berlaku pada khadijah. Kemudian khadijah bertemu saudaranya, saudaranya memberitahu "Benar, Dialah Muhammad, dipilih menjadi penyampai ALLAH". Lalu, Khadijah lah insan pertama yang bersama jihad Islam Rasulullah s.a.w.

Bilal, seorang hamba kepada pembesar mekah, Umayyah, ketika digertak berkata tegas, "Jasadku mungkin milikmu, tapi jiwaku milik ALLAH". Walaupun disiksa, Bilal tetap berkata "Hanya ALLAH, hanya ALLAH, hanya ALLAH". Dihempap batu diatas dadanya, tetap Bilal berkata "Hanya ALLAH, hanya ALLAH". Bilal dimerdekakan oleh Abu Bakar dengan 10 dinar emas.
Umayyah berkata dengan penuh keangkuhan mengibaratkan Bilal hanya layak dimerdekakan dengan 3 dinar emas saja walaupun telah meletakkan 10 dinar emas sebagai memerdekakan Bilal.
Kemudian, sahabat menjawab bagi pihak Abu Bakar "Bahkan Abu Bakar akan membayar dengan 100 dinar emas sekalipun dia sanggup"

Indahnya Islam bukan saja pada nama, tapi ia pada jiwa.

Islam tidak membezakan taraf, walaupun cuma hamba, pada ALLAH, yang membezakan cuma amal. Siapa yang paling tinggi pangkatnya disisi ALLAH adalah orang yang paling bertakwa. Subhanallah!!


Tidak sekilas pun pangkat dan darjat dunia dinilai bagi meletakkan kedudukan seseorang disisi Allah, bahkan siapa yang miskin pun mampu saja duduk di kedudukan tertinggi pabila iman dan amalnya dilakukan semaksimum dan sehabis mungkin.
Indahnya Islam kan?

Islam penuh dengan sifat saling menghormati, walaupun bukan golongan sebaris ketua dan panglima perang Islam, Rasulullah tetap mendengar dan menerima cadangan Salman Alfarisi, iaitu menggali parit sekeliling Madinah Al-Munawarah. Selama 30 hari tentera Arab Jahiliah seramai 10,000 orang, cuba memasuki kota Madinah, namun tetap saja gagal. Mereka semakin lemah, dan akhirnya pada subuh pagi, mereka dimusnahkan dengan angin kencang yang dahsyat. Lihat saja, ALLAH Maha Membantu. ALLAH Maha Mendengar permintaan hamba-hambanya agar diselamatkan dari ancaman tentera Arab Jahiliah.

Nabi Muhammad, satu insan, satu ciptaan, satu anugerah ALLAH kepada seluruh umat manusia. Baginda seorang ketua Islam yang penuh dengan sifat kepimpinan, sifat pengasih, sifat amanah, sifat belas, mudah memaafkan, lagi adil. Kata-kata Baginda semuanya benar, tiada dusta. Baginda memberi segala kehidupannya demi jihad Islam ini. Kasihnya pada umatnya tidak terungkap dengan kata-kata, bahkan, pada hujung hayat Baginda pun, apa yang disebutkan adalah "Umatku, umatku".

Rasulullah berpesan, tidak ada harta yang Baginda tinggalkan melainkan Al-Quran dan As-Sunnah. Berpeganglah kepada kedua-duanya.



Mahu saja kaki ini berlari menjejaki Mekah, bumi dimana Rasulullah pernah tertawa gembira, jihad, mendirikan solat, mengaji, tidur, makan, puasa, tawaf, berkeluarga, berkasih sayang sesama saudara seislam, sakit, berlapar kerana umatnya, segalanya Ya ALLAH. Aku, mampukah bersua dengan Baginda? Mahukan Baginda melihatku, mahukan Baginda meletakkan aku dalam kalangan pengikutnya? Astagfirullah Ya ALLAH, aturlah hidupku, sebagaimana ia adalah jalan yang paling Engkau redhai.



Cinta ALLAH itu tujuan kita, dan cintakan Nabi Muhammad itu adalah jalannya.


Comments

Popular Posts